MBI Selangor perkenal Pelan Strategik Kumpulan

MBI Selangor perkenal Pelan Strategik Kumpulan

Shah Alam: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor memperkenalkan Pelan Strategik Kumpulan atau Group Strategic Blueprint (GSB) dengan menggariskan lima fokus utama.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata GSB diperkenalkan bertujuan memastikan entiti pelaburan itu terus menjadi peneraju ekonomi negeri Selangor.

“Lima fokus berkenaan adalah peningkatan pendapatan dan keuntungan; mengoptimumkan portfolio perniagaan; transformasi digital dan automasi; pengukuhan tadbir urus dan struktur organisasi; serta pembangunan bakat dan budaya berprestasi tinggi.

“Pelan berkenaan bakal dijadikan hala tuju MBI Selangor sehingga 2028 sekali gus memastikan agensi itu terus menjadi peneraju ekonomi.

“Berdasarkan prestasi, kerajaan negeri yakin kemampuan MBI dalam memperkasa pertumbuhan ekonomi Selangor melalui pelan transformasi yang diperkenalkan hari ini (semalam).

“Saya juga yakin Selangor akan dapat memperkukuh pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melalui sumbangan MBI serta syarikat-syarikat milikannya,” katanya pada sidang media di Majlis Makan Malam 30 Tahun Jubli Perak MBI Selangor di Setia Alam, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajudin dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Datuk Saipolyazan Mat Yusop.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin memaklumkan MBI Selangor sedang melaksanakan penstrukturan organisasi yang lebih jelas bagi meningkatkan pendapatan menerusi anak syarikatnya.

“Strategi ini dilaksanakan sejak 2018 dan sekarang kita perkukuhkan lagi di samping memperkemaskan lima sektor utama yang dikenal pasti iaitu air, hartanah dan pembangunan, pelaburan, tenaga dan utiliti, serta perlombongan dan mineral.

“Penstrukturan itu bukan hanya struktur dalam MBI sahaja tetapi membabitkan penstrukturan MBI dan anak-anak syarikat.

“Kita sasar dividen kepada MBI itu dapat dicapai dan dipulangkan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu Saipolyazan ketika ucapan berkata, MBI Selangor berhasrat mencapai pendapatan RM8 bilion untuk keseluruhan kumpulan menjelang 2028.

Jelas beliau, sasaran itu bergantung kepada lima sektor utama yang dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama entiti berkenaan.

“Lima sektor utama itu adalah air dan bekalan air, hartanah dan pembangunan, pelaburan, tenaga dan utiliti, serta perlombongan dan mineral.

“Bagi air dan bekalan air, kita menyasar 45 peratus daripada jumlah sasaran pendapatan dengan meneruskan kerjasama strategik dengan Air Selangor, Heliosel, dan Cubiq Aqua,” katanya.

Related Post

Search